Dunia Ini Hanya Pinjam-Pinjaman

Tahun 2012 hampir akan melabuhkan tirainya dalam beberapa hari lagi. Ianya bermula tanpa ada sebarang tanda akan berlakunya sesuatu kejutan atau perubahan yang mendadak dalam kehidupanku. Selepas beberapa bulan berlalu, satu persatu peristiwa berlaku yang membuat ku tersedar bahawa dunia ini hanyalah pinjam-pinjaman. Tidak ada sesuatu pun yang kekal abadi - semuanya adalah bertaraf sementara, yang kekal hanyalah Allah SWT, Tuhan Seru Sekelian Alam.


Peristiwa pertama yang amat menyentuh perasaan ku adalah kembalinya Abang ku yang dikasihi ke rahmatullah dengan cara yang agak mengejutkan. Memang sudah sampai ajalnya, tetapi pemergiannya membuat ku tersedar bahawa kita akan dipanggil pada bila-bila masa sahaja oleh Tuan yang Ampunya....jadi hendaklah kita berusaha untuk menyediakan diri kita sebelum sampai giliran kita pulak.

Seterusnya banyak lagi peristiwa yang berlaku kepada ku dalam 2012 yang ku anggap sebagai ujian untuk membuat diri ini lebih tabah dan rapat kepada Allah swt. Semuanya itu telah tertulis dan aku redha terhadap apa yang Allah telah rencanakan untuk kehidupan ku di dunia yang fana ini. Pertengahan 2012 menyaksikan rumahtangga yang ku bina selama hampir 30 tahun punah di badai ombak perpisahan. Tiada suatu kuasa pun kecuali Allah SWT, yang dapat menghalangnya, aku pasrah dan hanya mampu berdoa supaya Allah SWT menggantikannya dengan yang lebih baik atau aku akan terus menghabiskan sisa-sisa kehidupan senja ku berkelana tanpa berteman!

Memang tiada apa yang kekal selagi kita bernama makhluk. Jika tidak dipisahkan dengan kematian, kita akan dipisahkan secara penceraian. Itu pun kita harus bersyukur kerana dengan berlakunya suatu perceraian itu sebenarnya ia adalah suatu rahmat untuk memberi kita "peluang kedua" bagi mengkoreksi serta memperbaiki diri. Susah juga untuk aku terima hakikat bahawa dengan berlakunya perceraian itu aku terpaksa melakukan perkara2 yang tidak aku sangka akan ku lakukan seperti keluar meninggalkan kediamanku dan ahli2 keluargaku yang telah sebati hidup bersama selama ini. Dalam keterpaksaan aku "merempat" dengan mencari tempat kediaman baru, aku bersyukur bahawa aku masih lagi diberi peluang untuk hidup dan tidaklah terus diceraikan dari dunia ini dan dibawa ke kuburan seperti arwah Abang ku yang tersayang dan orang2 lain yang telah mendahului kita semua berpindah ke alam baka' ....

Allah Maha Kaya, tidak lama aku membujang, jodoh baru ku pun muncul dan di pengakhir 2012, kami telah diijab kabulkan dalam suatu majlis kenduri kesyukuran yang telah dihadiri oleh semua adek beradek ku dan keluarga mereka. Walaupun tiada seorang pun dari anak-anak ku yang hadir sama (dan aku faham akan perasaan mereka), aku bersyukur dengan izin Allah SWT dan limpah kurnia Nya kini hidup ku kembali "lengkap" dan aku benar-benar telah diberi peluang kedua oleh Allah SWT untuk meneruskan saki baki perjalanan hidupku untuk menuju ke destinasi yang satu - mendapat redhaNya....

Betullah dunia ini hanya pinjam-pinjaman, tiada yang kekal kecuali Dia Yang Maha Agung. Ambillah sekadarnya apa yang ada di dunia ini sementara kita menghuni di atasnya, cukuplah sekadar untuk di buat bekalan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi...tiada gunanya kita hidup di dunia dengan berhajat untuk kekal selamanya dengan menongkat langit dan mengejar keseronokkan sementara yang penuh tipudaya, sedangkan di penghujungnya kita semua tahu yang menanti adalah sebuah kematian yang pasti...

Selamat tinggal 2012, semoga 2013 dan tahun-tahun seterusnya kita dipanjangkan umur dalam keberkatan dan sentiasa mendapat bimbingan dan petunjuk dariNya...aameen.

Kg Pulau Lang Kiri
Kuala Rompin, Pahang.
27.12.2012